samb. Kenapa Barat Memerangi Negara Islam?

Bertitik tolak daripada keistimewaan dan ciri-ciri khusus yang dimiliki oleh Islam ini, Rasulullah s.a.w telah mengumumkan semasa Haji Wida’ di khalayak umum firman Allah;

Maksudnya: Hari ini Aku sempurnakan kepada kamu agamamu, dan Aku lengkapkan nikmatKu keatas kamu dan Aku redha bagi kamu Islam sebagai agama. (Al-Maidah: 3)

Sebagaimana ditegaskan kepada umat Islam di kebanyakan munasabah bahawa Rasulullah s.a.w telah meninggalkan mereka di atas cahaya yang terang, malamnya adalah seperti siang, tidak terpesong daripadanya seorangpun kecuali dia merupakan seorang yang celaka.

Ditegaskan juga bahawa apabila mereka berpegang teguh dengan kitab dan sunnah, mereka tidak akan sesat buat selama-lamanya. Apabila mereka terpesong daripada syariat Allah dan mengabaikan syariatNya maka Allah akan menimpakan azabNya yang pedih kepada mereka. Bahkan musuh akan menguasai mereka lalu merampas sebahagian daripada apa yang ada di dalam genggaman mereka!!

1. Rasulullah s.a.w telah melaksanakan tugasnya menyampaikan risalah. Sewaktu baginda menemui Allah Taala, Islam telah tersebar ke seluruh Semenanjung Tanah Arab dan sampai ke Tahamah dan Najran, memasuki Yaman dan Bahrain dan berakhir ke Syam.

2. Di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin: Lembayung Islam telah meluas ke dua buah kuasa besar iaitu Parsi dan Rom. Lembayungnya juga telah meluas ke Negara China di Timur dan ke negara Rumania dan Selatan Rusia. Keadilannya juga telah memasuki Negara Syam, Mesir, Kepulauan Tripoli dan Afrika. Semuanya itu berlaku dalam jangka masa tiga puluh lima tahun.

3. Menjelang tahun 102 hijrah: Di zaman pemerintahan Bani Umaiyah, Islam dan kerajaannya telah meluas sehingga ke Sri Lanka dan sebahagian besar Negara India, Turkistan dan sempadan negara China di Timur. Ia telah meluas ke Barat hingga ke Sepanyol yang terletak di Eropah.

Begitulah Islam telah membekalkan dunia dengan kekuatan dan kehidupan dan menguasai bumi dengan cepat dan hebat seperti perubahan malam dan siang.

Khalifah kerajaan Abbasiah Harun ar-Rasyid telah berupaya menggambarkan kepada dunia tentang keluasan kerajaan Islam dan meluasnya kekuasaannya di muka bumi apabila baginda berkata kepada awan yang lalu di atasnya tetapi tidak menurunkan hujan padanya; “Turunlah (wahai hujan) di mana sahaja yang engkau mahu, sesungguhnya hasil keluaranmu akan di bawa kepada kami”.

Adakah kamu tahu -wahai pemuda- kenapa mereka terkejut dan kemarahan mereka memuncak?

Ini disebabkan tapak-tapak kaki umat Islam telah memijak bumi Eropah. Tenteratentera Islam telah sampai sehingga ke sempadan Perancis... Orang-orang Eropah telah terkejut daripada tidurnya dan berkata: "Sungguh pelik, agama apakah ini yang telah menguasai dunia dengan kekuatan dan ketangkasan yang mengkagumkan? Ia telah memerangi Rom, memasuki Itali, menawan Sepanyol dan kemudian cuba untuk merentasi Gunung Perancis untuk mengusai Perancis!"

Mereka telah mula berfikir dan merancang. Mereka berpendapat bahawa apabila Umat Islam dibiarkan dengan urusan mereka mengembangkan Islam, membuka negara demi negara dan bertebaran ke seluruh pelusuk dunia, sudah pasti tampuk pemerintahan dunia akan berada di tangan mereka, bahkan manusia seluruhnya akan berada di bawah kerajaan dan kepimpinan Islam.

Dengan itu mereka telah mengambil keputusan untuk berperang. Mereka membentuk tentera dan mengadakan persiapan peperangan serta bersatu di bawah satu panji sehingga mereka berupaya menghapuskan Islam -menurut tanggapan mereka-, menghapus umat Islam hingga ke akar umbinya. Hasilnya mereka tidak akan bangkit kembali walaupun sebentar.!!

Tetapi mereka yang dengki terhadap Islam itu telah menerima kekalahan, kehinaan dan keaiban di dalam peperangan Salib yang berturut-turut... dalam perang Hittin di tangan pahlawan yang terkenal Solahuddin al-Ayyubi. Mereka telah ditewaskan dengan teruk dan telah kembali ke negara mereka dengan penuh penyesalan.

Serangan demi serangan yang hebat ini telah menguatkan keimanan, keberanian, keazaman dan keyakinan umat Islam kepada agama mereka dan pertolongan Allah. Ini disebabkan seruan Allahu Akbar adalah laungan mereka, jihad adalah jalan mereka dan mati syahid di jalan Allah adalah setinggi cita-cita mereka.

Dr. Abdullah Nasih ‘Ulwan.
Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...