Jihad Melawan Hawa Nafsu vs Jihad Berperang (fi sabilillah)

Salah satu kekeliruan tentang konsep jihad yang sering diperbincangkan dan semakin diperkatakan oleh masyarakat Islam dewasa ini ialah salahfaham bahawa jihad yang dimaksudkan dalam Islam tidak membawa maksud peperangan. Malah, ada segelintir sarjana dan pemikir yang cuba menafikan peperangan sebagai salah satu bentuk jihad. Malahan, jihad melawan hawa nafsu itu dikatakan lebih baik dan lebih utama dari berperang di medan peperangan. Biarpun konsep jihad mengandungi pengertian yang luas dan dapat dimanifestasikan menerusi pelbagai bentuk, namun satu fakta yang jelas ialah jihad tidak dapat dipisahkan dari maksud peperangan.
Kekeliruan ini sebenarnya berpunca daripada para Orientalis yang ingin menghapuskan semangat jihad di kalangan ummat Islam, kerana mereka sedar akan kekuatan semangat jihad dan signifikannya dalam penyebaran dan pengukuhan agama Islam. Ini terbukti melalui kajian yang mereka lakukan sebagai postmoterm Perang Salib dan juga kajian tentang sejarah zaman kegemilangan Islam, di mana mereka dapati bahawa faktor pendorong kejayaan ummat Islam adalah semangat jihad. Puak ini dengan aktifnya cuba mengelirukan ummat Islam sendiri dan juga cuba menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam tentang konsep jihad.
Golongan yang berpendapat sedemikian berpegang pada sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang menyifatkan jihad berperang sebagai jihad kecil dan jihad melawan hawa nafsu sebagai jihad yang lebih besar atau utama. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam sebuah hadith yang bermaksud: “Kami telah pulang dari jihad yang kecil untuk jihad yang lebih besar”. Lalu para sahabat bertanya: “Apakah dia jihad yang besar?” Rasulullah menjawab: “Jihad melawan hawa nafsu”.
Hadith di atas membawa konotasi secara umum bahawa istilah jihad bukan sahaja bermaksud berperang dengan musuh di medan perang, akan tetapi ia juga membawa maksud peperangan seseorang individu dengan hawa nafsunya sendiri. Ia juga menggambarkan bahawa berjihad melawan hawa nafsu merupakan suatu amalan yang lebih besar dan utama dari berperang pada jalan Allah. Jika hadith ini ternyata sahih (autentik) ini bermakna jihad dalam erti kata perang adalah tidak begitu penting berbanding dengan jihad melawan hawa nafsu. Oleh itu, ummat Islam tidak perlu ke medan perang, kerana memadai bagi mereka melawan hawa nafsu untuk mendapatkan pahala dan ganjaran yang lebih besar.

Pada dasarnya, kekeliruan ini timbul disebabkan oleh beberapa sebab. Antaranya ialah:
1) Pertama, kedangkalan ilmu tentang keaslian, kebenaran dan authenticity hadith tersebut dan sejauhmana kekuatannya untuk dijadikan dalil dan hujah.
2) Kedua, kurang penguasaan Bahasa Arab serta tidak dapat memahami makna sebenar sesuatu hadith.
3) Ketiga, kesan dari distortasi makna sebenar hadith serta propaganda Barat dan para Orientalis dan musuh-musuh Islam di dalam penulisan mereka.Para ulama’ yang mengkaji kebenaran serta keaslian hadith ini merumuskan bahawa hadith ini sebenarnya tidak dapat dipastikan kebenarannya. Imam al-Iraqi mengatakan isnad (susur galur perawi yang meriwayatkan hadith) hadith ini dha’if atau lemah. Maksudnya, dari segi keasliannya dan kebenarannya, hadith ini tidak cukup kuat untuk dijadikan hujah. Ibn Hajar pula mengatakan hadith ini diriwayatkan oleh Ibrahim bin Ablah, salah seorang yang tidak boleh dipercayai periwayatannya. (Muhammad Khayr Haikal,1996, jil. 1: 46).
Walaubagaimanapun, seandainya hadith ini sahih dan penilaian ulama hadith ternyata silap, hadith ini perlu diberi penjelasan dan dilihat dari sudut bahasa dan makna. Jihad melawan nafsu dikatakan lebih “besar” dari jihad peperangan kerana secara logik, sebelum seseorang membuat keputusan untuk berjihad dan berperang di jalan Allah, dia perlu “berperang” dengan dirinya sendiri terlebih dahulu serta berperang dengan hawa nafsunya, agar dia memperoleh kekuatan untuk berjuang serta semangat untuk berkorban di jalan Allah. Dengan kata lain, individu tersebut perlu berjihad menentang sifat penakut, sifat malas dan tidak rela menghadapi kesusahan dan maut serta perasaan cintakan kehidupan dan kesenangan. Tambahan lagi, jihad melawan hawa nafsu merupakan prasayarat untuk seseorang keluar berjihad dan berperang di jalan Allah.
Oleh itu, demi menggambarkan kepentingan jihad tersebut, Rasulullah s.a.w. secara kiasan (metafora) telah menyebutnya sebagai jihad yang “lebih besar”. Kesimpulannya, frasa “lebih besar” sepertimana yang terdapat dalam hadith tersebut hanyalah kiasan dan bukanlah memberi makna secara zahir atau literal. Sebagai perbandingan untuk apa yang kita bincangkan, kita ambil contoh solat dan wuduk. Tidak dinafikan, solat ternyata lebih utama dari wudhuk. Tetapi sebelum mengerjakan solat, seseorang wajib mengerjakan prasayarat solat terlebih dahulu, iaitu mengambil wudhuk. Ini tidak bermakna wudhuk lebih utama atau lebih besar signifikannya daripada solat.

1 ulasan:

Admin said...

Terima kasih atas perkongsian,
Salam ramadan, selamat berpuasa (:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...