JIHAD FI SABILILLAH!!

Jihad merupakan suatu amalan ibadah yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan tersendiri. Ia adalah kemuncak amalan terpuji yang dituntut di dalam Islam, jika dibandingkan dengan amalan-amalan lain selain daripada solat wajib. Majoriti ulama’ Islam berpendapat jihad adalah lebih utama daripada solat dan puasa sunnat, sepertimana yang digambarkan melaui hadith dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia merupakan satu prinsip yang agung di dalam Islam kerana ia merupakan salah satu cara memelihara kebesaran, kemuliaan dan kedaulatan Islam. (Wahbah al-Zuhayli, 1996, jil. 6: 448)
Oleh kerana itulah jihad menjadi fardhu (tuntutan yang wajib) dan perintah yang berkekalan hingga ke hari Kiamat. Allah taala berfirman di dalam surah al-Haj ayat ke 78 yang bermaksud:
“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah s.w.t. dengan jihad yang sebenar-benarnya”
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: “Apakah perbuatan yang paling baik? Jawab Rasulullah s.a.w. : ‘Beriman kepada Allah Taala’. Kemudian perbuatan apa pula? Jawab Rasulullah s.a.w.:‘Jihad pada jalan Allah’. Kemudian apa pula? Jawab Rasulullah s.a.w.: Haji yang mabrur”.
Ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. untuk mereka yang berjihad samada dengan nyawa atau harta benda termasuklah pahala yang besar, maghfirah (keampunan) dari segala dosa daripada Allah Taala, kemuliaan di sisi Allah di dunia dan di Akhirat, selamat dari azab kubur dan seksa Neraka serta jaminan tempat yang eksklusif di Akhirat dan di Syurga. Allah menjanjikan ganjaran yang banyak dan istimewa kepada para mujahidin, terutamanya yang mati syahid di medan perang kerana mereka adalah tentera Allah di muka bumi. Perlu dijelaskan di sini, meskipun jihad boleh diterjemahkan dan dilakukan melalui beberapa wadah dan cara, namun berjihad dengan jiwa raga adalah yang paling utama dan paling dituntut oleh Islam. Pengorbanan seseorang berjihad semata-mata kerana Allah tidak dapat ditandingi dengan mana-mana amalan yang lain. (Sheikh Abdullah, 1995:14)
Demikian dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith sahih (benar dan autentik) yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: Wahai Rasulullah! Beritahulah aku, amalan apakah yang setanding dengan jihad? Rasulullah s.a.w. menjawab: Aku tidak memperolehnya. Lelaki tersebut berkata: Beritahu dan terangkanlah kepadaku. Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: Apabila mujahid (pejuang) berangkat untuk berjihad, sanggupkah kamu masuk ke masjid, lalu berdiri sembahyang dan tidak berhenti, adakah kamu terdaya untuk berpuasa terus-menerus tanpa berbuka walau sehari? Baginda bersabda lagi: Siapakah yang sanggup melakukan sedemikian?”
Rasulullah di dalam hadith yang lain juga pernah bersabda:
“Dari Abu Hurairah r.a. diriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah Taala telah menjamin bagi orang yang pergi berperang fi sabilillah (untuk menegakkan agama Allah) dengan firmannya: Siapa yang pergi berjihad hanya semata-mata untuk membela dan menegakkan agamaKu, dan kerana iman kepadaKu, serta percaya kepada RasulKu; maka Aku menjamin bahawa aku akan masukkannya ke dalam Syurga (jika dia mati di medan perang) atau mengembalikannya pulang ke rumahnya membawa kemenangan, berupa pahala dan harta pampasan”.
Seterusnya di dalam hadith yang lainnya, Rasulullah s.a.w. menjelaskan kelebihan berjihad :
“Dari Anas bin Malik r.a.berkata. Rasulullah s.a.w. bersabda: jihad fi sabilillah pagi dan petang lebih baik daripada dunia dan seluruh isinya”.
Oleh kerana jihad melibatkan pengorbanan yang besar dari segi harta dan juga nyawa, maka dalam melaksanakannya seseorang Muslim perlu mempunyai tahap keimanan yang tinggi agar dapat melaksanakan jihad dengan niat yang benar, ikhlas dan penuh keredhaan. Di dalam al-Qur’an, Allah Taala menjelaskan dengan ayat yang indah bahawa jihad adalah umpama satu pelaburan yang paling menguntungkan bagi seseorang Muslim, disebabkan keistimewaan ganjarannya yang tidak tertanding. Allah s.w.t berfirman, di dalam surah al-Saf ayat 10-13, maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan memasukkan kamu ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ’adn. Itulah keuntungan yang besar. Dan ada lagi kurnia lain yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.”
Selain yang disebutkan di atas, di antara ganjaran dan kelebihan yang akan dinikmati oleh orang-orang yang berjihad, terutamanya yang syahid (mati kerana berjihad) ialah: (Sheikh Abdullah,1995: 27)
i) Ruh para mujahid yang syahid berada di dalam burung-burung hijau yang berterbangan bebas di Syurga.
ii) Allah mengampuni segala dosa dan kesalahan mereka.
iii) Peluang meminta syafa’at daripada Allah agar pahalanya dapat digunakan untuk mengampuni sehingga 70 orang ahli keluarganya.
iv) Pada hari Pembalasan, orang yang syahid ketika berjihad akan datang dengan rasa yakin dan selamat daripada ketakutan terhadap balasan dan seksaan.
v) Mujahid yang syahid tidak akan merasa sakit dan terseksa semasa saat kematian. Mereka hanya akan berasa seperti dicubit sahaja.

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...