samb. Kenapa Barat Memerangi Negara Islam?

Bertitik tolak daripada keistimewaan dan ciri-ciri khusus yang dimiliki oleh Islam ini, Rasulullah s.a.w telah mengumumkan semasa Haji Wida’ di khalayak umum firman Allah;

Maksudnya: Hari ini Aku sempurnakan kepada kamu agamamu, dan Aku lengkapkan nikmatKu keatas kamu dan Aku redha bagi kamu Islam sebagai agama. (Al-Maidah: 3)

Sebagaimana ditegaskan kepada umat Islam di kebanyakan munasabah bahawa Rasulullah s.a.w telah meninggalkan mereka di atas cahaya yang terang, malamnya adalah seperti siang, tidak terpesong daripadanya seorangpun kecuali dia merupakan seorang yang celaka.

Ditegaskan juga bahawa apabila mereka berpegang teguh dengan kitab dan sunnah, mereka tidak akan sesat buat selama-lamanya. Apabila mereka terpesong daripada syariat Allah dan mengabaikan syariatNya maka Allah akan menimpakan azabNya yang pedih kepada mereka. Bahkan musuh akan menguasai mereka lalu merampas sebahagian daripada apa yang ada di dalam genggaman mereka!!

1. Rasulullah s.a.w telah melaksanakan tugasnya menyampaikan risalah. Sewaktu baginda menemui Allah Taala, Islam telah tersebar ke seluruh Semenanjung Tanah Arab dan sampai ke Tahamah dan Najran, memasuki Yaman dan Bahrain dan berakhir ke Syam.

2. Di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin: Lembayung Islam telah meluas ke dua buah kuasa besar iaitu Parsi dan Rom. Lembayungnya juga telah meluas ke Negara China di Timur dan ke negara Rumania dan Selatan Rusia. Keadilannya juga telah memasuki Negara Syam, Mesir, Kepulauan Tripoli dan Afrika. Semuanya itu berlaku dalam jangka masa tiga puluh lima tahun.

3. Menjelang tahun 102 hijrah: Di zaman pemerintahan Bani Umaiyah, Islam dan kerajaannya telah meluas sehingga ke Sri Lanka dan sebahagian besar Negara India, Turkistan dan sempadan negara China di Timur. Ia telah meluas ke Barat hingga ke Sepanyol yang terletak di Eropah.

Begitulah Islam telah membekalkan dunia dengan kekuatan dan kehidupan dan menguasai bumi dengan cepat dan hebat seperti perubahan malam dan siang.

Khalifah kerajaan Abbasiah Harun ar-Rasyid telah berupaya menggambarkan kepada dunia tentang keluasan kerajaan Islam dan meluasnya kekuasaannya di muka bumi apabila baginda berkata kepada awan yang lalu di atasnya tetapi tidak menurunkan hujan padanya; “Turunlah (wahai hujan) di mana sahaja yang engkau mahu, sesungguhnya hasil keluaranmu akan di bawa kepada kami”.

Adakah kamu tahu -wahai pemuda- kenapa mereka terkejut dan kemarahan mereka memuncak?

Ini disebabkan tapak-tapak kaki umat Islam telah memijak bumi Eropah. Tenteratentera Islam telah sampai sehingga ke sempadan Perancis... Orang-orang Eropah telah terkejut daripada tidurnya dan berkata: "Sungguh pelik, agama apakah ini yang telah menguasai dunia dengan kekuatan dan ketangkasan yang mengkagumkan? Ia telah memerangi Rom, memasuki Itali, menawan Sepanyol dan kemudian cuba untuk merentasi Gunung Perancis untuk mengusai Perancis!"

Mereka telah mula berfikir dan merancang. Mereka berpendapat bahawa apabila Umat Islam dibiarkan dengan urusan mereka mengembangkan Islam, membuka negara demi negara dan bertebaran ke seluruh pelusuk dunia, sudah pasti tampuk pemerintahan dunia akan berada di tangan mereka, bahkan manusia seluruhnya akan berada di bawah kerajaan dan kepimpinan Islam.

Dengan itu mereka telah mengambil keputusan untuk berperang. Mereka membentuk tentera dan mengadakan persiapan peperangan serta bersatu di bawah satu panji sehingga mereka berupaya menghapuskan Islam -menurut tanggapan mereka-, menghapus umat Islam hingga ke akar umbinya. Hasilnya mereka tidak akan bangkit kembali walaupun sebentar.!!

Tetapi mereka yang dengki terhadap Islam itu telah menerima kekalahan, kehinaan dan keaiban di dalam peperangan Salib yang berturut-turut... dalam perang Hittin di tangan pahlawan yang terkenal Solahuddin al-Ayyubi. Mereka telah ditewaskan dengan teruk dan telah kembali ke negara mereka dengan penuh penyesalan.

Serangan demi serangan yang hebat ini telah menguatkan keimanan, keberanian, keazaman dan keyakinan umat Islam kepada agama mereka dan pertolongan Allah. Ini disebabkan seruan Allahu Akbar adalah laungan mereka, jihad adalah jalan mereka dan mati syahid di jalan Allah adalah setinggi cita-cita mereka.

Dr. Abdullah Nasih ‘Ulwan.
Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini

Kenapa Barat Memerangi Negara Islam?

Adakah kamu mengetahui -wahai para pemuda- kenapa Barat dan Timur memerangi negara Islam? Kerana risalah Islam menerangi akal dan fikiran, dan berkembang ke seluruh alam dengan cepat dan mengkagumkan. Manusia telah menerimanya berdasarkan pilihan mereka sendiri dan mentaatinya. Dan kerana risalah yang kekal ini memiliki beberapa keistimewaan yang berikut:

Rabbaniah: Kerana ia lahir daripada Tuhan yang Mentadbir dan Bijaksana yang tidak luput daripadaNya sesuatu walaupun sebesar zarrah. Dia mengetahui segala sesuatu dan Dia telah meletakkan tiap-tiap sesuatu pada tempatnya yang munasabah.

Maksudnya: Dan bagi orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukuman yang lebih baik daripada Allah. (al-Maidah: 50)

Kekal: Kerana ia adalah kekal buat selama-lamanya, terpelihara di bawah pemeliharaan Allah sehingga hari akhirat.

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang telah menurunkan al-Quran itu dan Kamilah yang akan memeliharanya. (al-Hijr: 9)

A'lamiah: Kerana pembawa risalah ini telah diutuskan kepada seluruh manusia dan alam sejagat.

Maksudnya: Dan Kami tidak mengutuskan engkau melainkan kepada seluruh manusia sebagai pembawa berita gembira dan berita menakutkan (peringatan). (Saba’: 28)

Syumul: Kerana ia merangkumi segenap espek kehidupan dan sistem yang diperlukan oleh manusia di dunia dan akhirat, memenuhi keperluan semasa dan masa akan datang, ketika perang dan ketika aman.

Maksudnya: Dan Kami telah menurunkan kepada engkau (wahai Muhammad) Al Quran sebagai penjelas kepada setiap sesuatu serta sebagai pembawa rahmat dan berita gembira kepada orang orang Islam. (an-Nahl: 89)

Merubah: Kerana terkandung di dalamnya dakwah para anbiya’, memelihara kebenaran yang diturunkan kepada seluruh risalah terdahulu, dan Allah telah redha supaya ianya mengatasi seluruh agama yang lain.

Maksudnya: Dan Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara dan mengawasinya. (al-Maidah: 48)

Menyumbang sistem perundangan: Kerana ia muncul di bidang perundangan dan ijtihad dengan dasar-dasar dan kaedah-kaedahnya yang umum serta furu’-furu’nya. Dengan itu, ia mampu menangani keperluan zaman dan perubahan semasa terutama hukum-hukum yang berhubung dengan muamalat, permasalahan undang-undang, sistem ekonomi, perhubungan sosial dan hubungan antarabangsa.

Maksudnya: Tiada Kami tinggalkan sesuatupun di dalam Al Quran ini. (yakni segala yang diperlukan mengenai dunia dan akhirat, ada diterangkan asas-asas dan intisarinya di dalam al Quran [tafsir pimpinan ar-Rahman]). (al-An’am: 38)

ENAM KESILAPAN MEMBUAT RESUME

1)    Salah ejaan dan tatabahasa

Kesalahan ejaan walaupun satu huruf sering dianggap remeh. Tetapi jika ini berlaku, secara tidak langsung ia menggambarkan anda seorang yang tidak teliti dan kurang  cermat.

2)    Menggunakan alamat sementara

Gunakanlah alamat tetap yang membolehkan sebarang surat menyurat dijalankan dengan lancar. Sebahagian tawaran temuduga pada masa ini masih dibuat menggunakan sistem pos. Jika alamat sementara, dibimbangi surat tawaran tidak akan sampai ke tangan anda pada masa yang sepatutnya.

3)    Menggunakan talian telefon yang tetap

Seboleh-bolehnya letakkan beberapa nombor telefon sebagai rujukan. Jika satu nombor tidak dapat dihubungi, syarikat boleh menghubungi anda menggunakan nombor yang lain (sebagai contoh, telefon bimbit dan telefon rumah). Elakkan juga sikap suka menukar-nukar nombor telefon agar komunikasi anda berjalan lancar.

4)    Gambar tidak sesuai

Kepilkan gambar yang sesuai bersama resume anda. Gunakan gambar berukuran pasport dan bukannya digunting daripada kepingan gambar biasa. Pastikan penampilan kemas dan tidak serabut dengan pakaian yang berwarna-warni dan sarat.

5)    Melipat resume

Jangan lipat resume anda. Ia lebih kemas jika diisi di dalam sampul surat bersaiz A4.  Majikan juga mudah membaca resume anda tanpa perlu membuka lipatan yang pastinya menyusahkan.

6)    Tiada surat permohonan

Sertakan bersama surat permohonan sebagai iringan. Di situ nyatakan dengan jelas jawatan yang diminta dan mengapa anda berminat dengan jawatan yang ditawarkan. Ia juga sebagai satu sokongan agak majikan memilih anda untuk dipanggil menghadiri temuduga.

samb. Sejarah Kaunseling

Makmal Psikologi

Pada tahun 1879 , Wilhelm Wundt mengujudkan makmal psikologi eksperimental di Liepzig, Germany. Hasil daripada ujikaji-ujikaji, para penyelidik mula memahami erti gerak balas sistem saraf, rasa sensasi, nadi saraf dan kaitan antara jasad fizikal dengan mental. Ini memberi sumbangan kepada konsep kesihatan individu dan penemuan kaedah baru dalam memberi pertolongan.

Pendekatan Baru Dalam Rawatan Mental

Pada masa dahulu, rawatan mental terletak di tangan pawang atau 'magic healers', ahli agama atau pengubat dengan cara-cara yang ganjil dan tidak saintifik. Philippe Pinel (1793) di Perancis dianggap sebagai pengasas pergerakan kesihatan mental. Lepas Pinel muncul pula Jean-Martin Charcot seorang neurologis pakar. Beliau berminat dengan penyakit psikosomatik. Beliau mengambil masa yang lama mengkaji pesakit 'gila babi' atau epilepsy yang mendapati tidak ada apa-apa silapnya dengan tubuh badan. la menamakannya sebagai hysteria. Hipnosis digunakan sebagai alat klinikalnya.

Rakan Charcot yang berama Pierre Janet menemui kaedah merawat penyakit yang dikesan oleh Charcot. Charcot menggunakan hipnosis untuk diagnosis tetapi Janet menggunakannya untuk merawat. Hipnosis dapat membantu klien untuk mengingati ingatan yang telah lama terpendam. Klien menjadi pulih secara menakjubkan. Janet menamakan kaedah itu sebagai 'catharsis'. Pelajamya kemudian merevolusikan kaedah ini. Pelajar itu ialah Sigmund Freud. Freud, sebagai pelajar susah, mendapat biasiswa untuk pergi ke France, menjadi pelajar kepada Charcot. Setelah tamat, Freud berkerjasama dengan Josef Breuer menggunakan apa yang mereka namakan cathartichypnotic untuk merawat pesakit histeria.

Perubahan-perubahan yang telah diperkenalkan oleh Freud dan pengikut-pengikutnya dengan segera disambut oleh masyarakat Amerika yang sangat menghargai apa jua yang berunsur baharu. Psikologi Adler, rnisalnya diterima dengan baik dan mempengaruhi perkembangan kaunseling di Arnerika. lni termasuk juga pengaruh psikologi perlakuan yang dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Watson dan Skinner.

Pengaruh Gerakan Kemanusiaan

Carl R Rogers adalah seorang ahli psikologi yang dilatih dalam gerakan psikoanalisis tetapi kemudiannya tidak menyetujui kaedahnya. Rogers juga dilihat sebagai pengkritik utama terhadap pengaruh kuantitatif. Ia beranggapan bahawa setiap individu hendaklah dilihat secara keseluruhan, unik, berbeza dan penting bukannya sebagai bahan bukti kepada sesuatu perlakuan, pembelajaran atau perhubungan psiko-sosial. Cari R Rogers mempelopori "non-directive psychology". Pengaruh Rogers sangat besar kepada dunia kaunseling. la menjadi asas kepada pembinaan sikap kaunselor dan ahli psikologi terhadap klien mereka. Rogers dianggap orang yang telah menggabungkan kaunseling dengan psikologi. Daripada sini juga kemudiannya psikologi 'existential' berkembang dan mempengaruhi psikoterapi, kaunseling vokasional, latihan kerja, kerja personelia dan kaunseling pemulihan.

Pada peringkat awal di Amerika Syarikat pandangan terhadap pesakit mental tidak jauh berbeza dengan apa yang terdapat di Perancis pada era pra-Pinel. Pandangan stereotaip tentang pesakit mental diamalkan secara meluas. Tidak terdapat satu dasar negara mengenainya, tidak ada tokoh yang mempelopori gerakan kesihatan mental dan tidak ada organisasi kemanusiaan yang mengambil hirau mengenainya. Pesakit-pesakit mental dianggap sebagai anggota masyarakat yang sangat hina statusnya. Mereka yang dianggap sebagai sakit mental diasingkan daripada orang ramai dengan alasan demi kebaikan diri mereka dan keamanan masyarakat. Walau pun gerakan bimbingan vokasional telah sedia wujud pada penghujung kurun ke-19, namun sikap seperti ini tidak berubah.

Kes Clifford Beers telah menjadi titik tolak yang sangat penting kepada perubahan sikap masyarakat terhadap isu kesihatan mental. Beers mengalami schizophrenia dan dimasukkan ke institusi sakit mental. Di situ dia dilayan dengan buruk seperti pesakit-pesakit mental yang lain. Apabila Beers telah pulih sedikit dan agak mampu untuk berfungsi, ia telah menulis sebuah buku yang menceritakan pengalaman buruknya di institusi mental. Buku yang bedudul 'A mind that found himself' telah menjadi jualan laris atau 'best-seller'. Buku itu menceritakan penderitaan mereka yang dilabel pesakit mental di institusi mental.

Melalui buku itu juga Beers rnenyeru supaya dilakukan refomasi daripada segi sikap masyarakat terhadap golongan itu. Beers kemudiannya menjadi aktivis sosial yang menyeru ke arah refomasi sikap masyarakat. Jika Freud dianggap sebagai pengasas kepada konsep rawatan kesihatan mental moden, Beers pula dianggap sebagai orang yang mengasaskan pelaksanaannya, terutamanya dari segi corak hubungan masyarakat luas dengan mereka yang dianggap sakit mental.

Pengaruh kerja-kerja makrnal Wundt pula berkembang dengan meluas apabila pelajar-pelajar psikologi di Amerika ghairah dengan kerja-kerja makmal manusia. Hampir di seluruh Amerika kemudiannya terdapat makmal-makmal sains perlakuan dengan pelbagai aktiviti ujikajinya. Antara pelajar yang kemudiannya menjadi terkenal dan penting kepada perkembangan psikologi di Amerika ialah Granville Stanley Hall. Ramai orang di Amerika menganggapnya sebagai father of American Psychology.

Hall menjadi pelopor kepada penubuhan American Psychological Association (APA). Beliau telah menghasilkan graduat pada peringkat kedoktoran (doctorate) dalam bidang psikologi. Hall telah membina makmal psikologi di Universiti John Hopkins, Baltimore pada tahun 1883. Dua tahun kemudian makmal-makmal psikologi ditubuhkan di tempat-tempat lain seperti Harvard, Pennsylvania, Brown, Stanford, Yale, Comell, Indiana dan Chicago. Pada tahun 1887, Hall meninggalkan Baltimore dan menjadi Presiden kepada Universiti Clark dengan pangkat Profesor Psikologi. Di situ, ia melatih ramai tokoh psikologi Amerika termasuk L.M. Terman yang terkenal dengan kajiannya terhadap 'gifted'. Hall mengasaskan kajian kuantitatif yang kemudiannya menggerakkan gerakan pengukuran atau 'testing movement' di Amerika.

Para kaunselor kemudiannya begitu dipengaruhi oleh kepercayaan tentang kepentingan pengukuran dalam kaunseling. Gerakan pengukuran kemudian menjadi begitu penting. Pengaruh yang dimulakan oleh ahli sains British, Sir Francis Galton, yang berusaha mencipta alat ukuran IQ diresapi pula oleh pengaruh Alfred Binnet yang membina pengukur IQ, Lewis M. Terman yang mengukur alat pengukur itu kepada populasi yang besar hinggalah kepada kerja-kerja Edward L. Thondike. Perkembangan kaunseling dari awal lagi telah didapati berkait rapat dengan perkembangan pergerakan pengujian dan pengukuran.
Dengan kemasukan kaedah kuantitatif ini, keperluan klien dapat diukur bersama dengan kebolehan, kecenderungan, dan masalah untuk menilai keperluan kaunseling. Menjelang 1950 hampir tiada aspek kaunseling yang tidak melibatkan pengukuran. Walaupun selepas 1960-an dengan 1970-an menyaksikan kebangkitan kritikan terhadap pengukuran seragam/piawai atau 'standardised test', bidang kaunseling tetap melihat pengukuran sebagai mempunyai fungsi penting dan berkesan. Jika pengukuran digolongkan bersama dengan kaedah makmal psikologi, kaedah empirikal dan kuantitatif maka bidang kaunseling mendapat dimensinya yang saintifik.

Gerakan Vokasional

Pada dekad pertama kurun ke- 20, gerakan bimbingan vokasional telah tersebar luas di seluruh Amerika. Gerakan pendidikan progresif membawa gagasan bahawa individu perlu ditolong mengenali dirinya melalui alam pekerjaan. Matlamat bimbingan untuk memenuhi kehendak hidup sangat secocok dengan gerakan kaunseling.

Frank Parson adalah tokoh yang mempelopori gerakan ini. Beliau adalah seorang pendidik yang bergerak di Boston, Amerika Syarikat. Beliau membawa slogan "the useful and happy life" atau hidup yang berguna dan gembira. Parson dianggap sebagai orang yang sangat penting dalam sejarah pembaharuan Amerika. Pendidikan vokasional bukan sahaja berguna kepada anak-anak muda bahkan mengakibatkan reformasi sosial telah berlaku di Amerika. Gerakan vokasional ini telah didorong oleh keadaan sosial Amerika termasuk kerja-kerja pembinaan yang besar-besaran, penemuan teknologi baru, perpindahan ilmu dan teknologi dari Eropah dan situasi di luar bandar Amerika. Masyarakat Amerika berubah daripada masyarakat homogeneous pertanian kepada masyarakat bandar yang heterogeneous. Perpindahan beramai-ramai dari Eropah menambahkan lagi kepelbagaian masyarakat Amerika. Secara umum, keperluan terhadap kaunseling didorong oleh perindustrian, pengkhususan, pembandaran, perubahan peranan wanita, keperluan terhadap pendidikan yang meningkat, bilangan pelajar di institusi pendidikan yang meningkat, kurikulum sekolah yang semakin luas, perkembangan sekularisme, kehendak kepada pendidikan yang berguna, dan kemunculan pelbagai teori baharu mengenai pendidikan. Parson pada 1895 menawarkan perkhidmatan kaunseling vokasional untuk menghindarkan para belia daripada terperangkap dalam pekerjaan pertama dan yang paling mudah didapati. Parson membimbing para belia supaya memilih kerjaya dengan cara melengkapkan diri dengan pengetahuan yang luas mengenai sesuatu pekerjaan yang hendak diceburinya.

Sejarah Kaunseling

Pendahuluan

Pada asasnya perkhidmatan kaunseling berasal dari Amerika. Mungkin masyarakat lain boleh mengaku bahawa kaunseling sudah sedia wujud dalam masyarakat masing-masing, tetapi yang nyata perkhimatan itu diperkembangkan di sana. Suasana masyarakat di negara itu menyumbang kepada kemajuan perkhidmatan kaunseling. Amerika sebagai sebuah tamadun baharu dunia, sangat menghormati dan memberi nilai yang tinggi kepada keindividuan. Masyarakat di sana mendokong semangat dan kepercayaan bahawa setiap individu itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Sejarah orang Amerika yang kebanyakannya pendatang sangat percaya bahawa kejayaan atau kegagalan seseorang ditentukan oleh individu itu sendiri.

Kepercayaan ini ditambah pula oleh kemajuan ekonomi yang dicapai oleh negara itu. Oleh kerana ada kemewahan hidup, orang Amerika mampu memberi layanan kepada setiap individu rakyatnya. Ini sesuai dengan semangat kaunseling yang bertujuan memberi sokongan supaya setiap orang mampu berkembang mengikut kemahuannya. Keadaan tentu berbeza kiranya masyarakat itu menekankan supaya individu berkembang mengikut tuntutan luar terhadapnya. Masyarakat yang menghadkan hak individu menentukan arah hidupnya, seperti tuntutan masyarakat, politik, agama atau desakan hidup tidak akan membolehkan khidmat kaunseling berkembang.

Catatan Kemunculan \perkhidmatan Kaunseling di Amerika Syarikat

Banyak penulis mengatakan bahawa Jesse B. Davis ialah orang telah memulakan tugas dengan panggilan sebagai kaunselor di Central High School, Detroit, Michigan pada tahun 1898. Tumpuan perkhidmatannya ialah membantu pelajar dalam lapangan bimbingan pendidikan dan vokesional. Di peringkat institusi pengajian tinggi pula, William R.Harper, Presiden Universiti Chicago begitu menekankan tentang pengajaran mengikut kesesuaian individu dan keperluan kepada personalia yang pakar. Ini terkandung dalam ucapannya yang bedudul 'Scientific Study of the Student'.

Pada tahun 1906, Eli Weaver menulis buku yang bedudul “Memilih Kerjaya” atau 'Choosing a Career'. Biro vokasional telah dibuka di Boston pada 1908 dengan dipelopori oleh Frank Parson. Pada tahun 1909, Parson telah menulis panduan cara-cara membimbing yang telah digunakannya terhadap 80 orang belia yang telah menggunakan khidmatnya.

Klinik bimbingan yang bersistematik dikatakan muncul sebagai hasil kerja William Healy setelah tertubuhnya Institut Juvana Psikopatik. Persidangan bimbingan yang pertama diadakan telah berlangsung di Boston pada tahun 1910. Pada tahun 1911 Universiti Harvard buat kali pertama menawarkan kursus bimbingan pada peringkat universiti.

Pengajamya yang pertama ialah Meyer Bloomfield. Di Negeri Michigan, pada tahun 1912, di bandar Grand Rapids ditubuhkan jabatan bimbingan di dalam sistem persekolahannya. Grand Rapids kemudiannya menjadi tapak penubuhan Persatuan Kebangsaan Bimbingan Vokesional pada tahun 1913.

Di dalam sistem pendidikan pula, Perkhidmatan Bimbingan dan Maklumat Pekerjaan telah ditubuhkan di Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat pada tahun 1938. Ketua Jabatannya ialah Harry A.Jager. Pada tahun 1939, Kamus Nama-Nama Pekerjaan telah diterbitkan. Pada tahun 1942 buku Sejarah Bimbingan Vokasional hasil tulisan John M. Brewer telah terbit. Perkhidmatan bimbingan vokasional dibenarkan menggunakan peruntukan kewangan kerajaan pusat dengan berkuatkuasanya George-Deen Act 1938 dan kemudiannya melalui akta George-Barden 1946. Pada tahun 1951 pula, Persatuan Bimbingan dan Personalia telah tertubuh. Akta Pendidikan mengenai Pertahanan Nasional yang diperkenalkan sebagai reaksi kepada pelancaran Sputnik I oleh Rusia pada tahun 1957, telah menyediakan sumber kewangan bagi memperkukuhkan program bimbingan dan menyediakan latihan bagi kaunselor sekolah. Suruhanjaya Bimbingan di sekolah di Amerika telah mengeluarkan laporan pada tahun 1962 yang menyentuh keadaan kaunseling pada ketika itu dan pada masa depan sambil mengemukakan pelbagai cadangan untuk faedah jangka panjang. Laporan yang bertajuk 'The Counselor in a Changing World' telah ditulis oleh C. Gilbert Wrenn. Pada tahun 1964, Fasal 5 Akta Pendidikan Pertahanan Nasional telah dipinda bagi memasukkan latihan kaunselor sekolah rendah dan bantuan kewangan kepada aktiviti bimbingan pada peringkat itu. Melalui pindaan itu peruntukan juga disediakan untuk melatih kaunselor di institusi pengajian tinggi.

Pada tahun-tahun 1860-70-an perhatian lebih tertumpu kepada usaha memperjelaskan peranan dan fungsi kaunselor, soal akauntabiliti dalam kaunseling, soal penggunaan pendekatan kelompok, penggunaan komputer bagi maklumat kerjaya dan teknik-teknik mengubahsuai tingkahlaku.

Faktor Pendorong


Konsep dan teknik kaunseling moden berkembang hasil pengaruh sosial, psikologi dan persekitaran. Interaksi antara ketiga-tiga faktor itu menyediakan suasana yang subur untuk kemunculan dan perkembangan kaunseling. Antaranya ialah pengaruh daripada gerakan pembaharuan sosial. Bandar-bandar berkembang pada tahun 1800-an dan membawa perubahan besar kepada cara hidup, keadaan ekonomi dan sosial Amerika. Kemiskinan, ketidakadilan, rasuah dan sebagainya telah memperkukuhkan desakan terhadap keperluan pembaharuan sosial. Beberapa buku telah diterbitkan antaranya How the other Half Lives (Jacob Riis) History of the Standard Oil Company (Ida Tarbell) , lhe Treason of the Senate (David Graham Phillips), The Jungle (Upton Sinclair), The Bitter Cry of the Children (John Spargo). Buku-buku ini menyeru kepada perubahan sosial di Amerika. Sebagai reaksi kepada kebobrokan masyarakat, tertubuhlah pelbagal pertubuhan sukarela untuk perumahan, biro-biro kerajaan dan perkhidmatan jagaan dan pemulihan. Tokoh-tokoh perubahan cuba mengubah punca-punca penyakit masyarakat seperti kemiskinan, kejahilan dan jenayah. lklim seperti inilah yang telah mendorong kepada bermulanya kepentingan perkhidmatan kaunseling.

Kisah Saidina Umar Al-Farouq


Selamat menonton dan membaca video di atas. Moga menjadi ibrah dan peringatan buat kita semua.

Menjejak Dosa Di Alam FACEBOOK

by Usrah Ikhwan Online

Perlakuan dan perbuatan melalui facebook boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Tertekanlah sang suami atau isteri.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar

Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

3) Penyamaran

Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingk an wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat dosa.

5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.

Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

KESIMPULAN

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Sekian.

Dipetik daripada;Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...